Ucapan Mahfuz bahas SPRM

Posted by Unknown Tuesday, December 16, 2008

Dewan Rakyat (15/12/08): Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya ingin turut membahaskan Rang Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2008. Memang dari segi prinsipnya kita bersetuju atas sebarang usaha untuk melaksanakan Program Pelaksanaan Pencegahan Rasuah ini melalui pembentukan suruhanjaya ini. Akan tetapi harus kita ingat bahawa negara kita sudah banyak suruhanjaya-suruhanjaya yang ditubuhkan melalui Parlimen, yang ditubuhkan melalui bidang kuasa Perlembagaan dalam negara kita. Yang mana kadang-kadang kita lihat bahawa fungsi suruhanjaya-suruhanjaya itu tidak menepati atau dapat memenuhi kehendak yang sepatutnya.

Saya tunjuk contoh Tuan Yang di-Pertua, di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia atau SUHAKAM yang kita lihat bahawa kita wujudkan suruhanjaya itu untuk memastikan supaya hak asasi manusia di negara kita ini akan lebih baik dari semasa ke semasa. Namun beberapa pendapat dan pandangan serta cadangan yang dikemukakan oleh SUHAKAM tidak pun diimplementkan ataupun dilaksanakan, dipenuhi tuntutan tersebut oleh pihak kerajaan.

Umpamanya saya masih ingat bahawa SUHAKAM pernah mencadangkan supaya dimansuhkan seksyen 27 dalam Akta Polis umpamanya, begitu juga pandangan SUHAKAM tentang soal ISA. Saya tidak nampak tentang komitmen kerajaan dan kita melihat bahawa kita menubuhkan suruhanjaya dan akhirnya kita membawa satu perbelanjaan kewangan yang besar yang membebankan pembayar cukai dalam negara kita.

Begitu juga dengan SPR, Suruhanjaya Pilihan raya yang diwujudkan melalui Perlembagaan dan juga ada satu akta di Dewan ini. Apabila kita membahaskan dan membincangkan persoalan kebebasan SPR sendiri, SPR berkali-kali - Pengerusi SPR sebelum ini yang akan bersara pada penghujung bulan ini menyatakan bahawa mereka tidak ada masalah tetapi yang ada masalah ialah pihak eksekutif, iaitu pihak kerajaan sendiri. Yang mana tidak mempunyai political will ataupun komitmennya tinggi untuk membuat pindaan-pindaan bagi memastikan supaya satu kebebasan yang lebih jujur dan lebih telus di dalam perkara tersebut.

Ini menunjukkan bahawa penguasaan eksekutif itu terlalu tebal dalam suruhanjayasuruhanjaya seperti itu. Begitu juga dalam isu rasuah ini Tuan Yang di-Pertua. Kita melihat bahawa pandangan ataupun persepsi masyarakat negara kita dan juga antarabangsa yang menyebabkan indeks rasuah itu agak memalukan kita ialah dilihat kerana penguasaan pihak eksekutif itu seperti yang disebut oleh rakan-rakan tadi terlalu besar.

Perkara yang keduanya ialah kerana peranan AG ataupun Peguam Negara tersebut yang dipersoalkan mempunyai kepentingan ataupun kuasa yang terlalu luas dan akhirnya mereka boleh berperanan untuk melindungi perasuah-perasuah dalam negara kita. Jadi sebab itu bila saya lihat dan saya baca rang undang-undang ini saya masih tak dapat melihat dua aspek ini iaitu penguasaan eksekutif dan juga peranan AG itu tadi.

Saya masih tidak dapat melihat aspek ini di berikan penekanan. Malah sebaliknya kalau kita lihat bahawa penguasaan eksekutif itu makin tebal. Seperti mana disebut oleh Yang Berhormat Ipoh Timur dikeluarkan daripada Jabatan Perdana Menteri tetapi kuasa kepada Perdana Menteri itu terlalu besar dalam penentuan pelantikan-pelantikan dan begitu dengan soal pendakwaan yang masih diberikan kuasa kepada Peguam Negara.

Jadi sebab itu saya ingin mencadangkan kepada pihak kerajaan apalah salahnya supaya kalau betul-betul ianya hendak dapat dilihat sebagai satu kebebasan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau SPRM ini betul-betul dia Suruhanjaya Pencegahan Rasuah.

Kalau tidak nanti orang akan mengelar dia sebagai ‘suruhanjaya pelindung rasuah’.

Ini tidak baik kepada masa depan pertumbuhan ekonomi dalam negara kita. Sebab itu saya ingin meminta apa salahnya kerajaan sendiri kalau bolehnya mengemukakan, Yang Berhormat Perdana Menteri sendiri ada di sini iaitu untuk mewujudkan satu mekanisme yang lebih jelas tentang pembentukan dan pelantikan anggota-anggota lembaga suruhanjaya; ini sekali gus pelantikan yang berkaitan dengan Ketua Pesuruhjaya itu sendiri.

Sebab itu saya melihat bahawa ada dua komuniti di sini yang saya tidak nampak dia punya fungsi dia sangat jelas iaitu Special Committee on Corruption iaitu Jawatankuasa Khas Rasuah dan Jawatankuasa Aduan. Saya tidak nampak apa keperluan untuk wujud di sini kerana peranan dia hanya sebagai penasihat kepada Perdana Menteri dan untuk meneliti laporan suruhanjaya.

Kemudian meneliti aduan-aduan kalau ada berlaku berkaitan dengan aduan terhadap suruhanjaya ini sendiri, lembaga ini sendiri. Jadi saya lihat bahawa apa salahnya kalau dua-dua itu dicantumkan dan diwujudkan satu fasa baru yang boleh dikatakan sepertimana yang disebut oleh Yang Berhormat Ipoh Timur tadi iaitu Jawatankuasa Khas Peringkat Parlimen. Jawatankuasa inilah yang sepatutnya diberikan satu kuasa untuk menentukan siapa yang sepatutnya dilantik untuk menduduki jawatankuasa penasihat kepada suruhanjaya ini. Ini sangat-sangat penting supaya jawatankuasa ini adalah Jawatankuasa Parlimen. Saya boleh terima tidak semestinya Ketua Pembangkang ataupun daripada pihak pembangkang, saya boleh terima secara rasionalnya.

Akan tetapi lebih baiknya daripada pihak pembangkang, kerana itu akan memberikan satu persepsi yang lebih baik kepada negara kita. Akan tetapi saya boleh terima asalkan dia dapat memenuhi dari segi peruntukan kuota berapa peratus penguasaan Parlimen daripada kerajaan dan juga daripada pembangkang. Kalau 60% penguasaan Ahli Parlimen daripada pihak kerajaan maka daripada pihak Barisan Nasional yang bukan daripada anggota kerajaan. Maka peratusnya merekalah yang lebih dan berapa peratus daripada pihak pembangkang. Namun yang pentingnya jawatankuasa, komuniti ini ialah komuniti yang betul-betul diberikan power yang jelas bagi membuat pelantikan cadangan. Buat satu screen test terhadap mana-mana lembaga penasihat kepada suruhanjaya yang hendak dilantik ini. Mereka yang ini di screen terlebih dahulu. Di boleh memanggil mereka itu membuat satu penelitian dan sebagainya. Kemudian saya boleh terima, mengangkat nama ini kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk diangkat supaya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Bukan diangkat kepada Perdana Menteri untuk pertimbangan Perdana Menteri tapi dicadangkan kepada Perdana Menteri untuk diangkat kepada Yang di-Pertuan Agong.

Ini bagi saya bahawa akan dapat memperlihatkan satu ketelusan dari segi komitmen menunjukkan kesungguhan untuk kita benar-benar melaksanakan tugas ataupun hasrat kita untuk membuat pencegahan rasuah. Akan tetapi kalau kita melihat ini menunjukkan bahawa semuanya ialah dengan kuasa Perdana Menteri. Semuanya dengan kuasa Perdana Menteri, Lembaga Penasihat, Jawatankuasa Aduan, Jawatankuasa Khas dan sebagainya. Semuanya adalah dengan kuasa yang diberikan kepada Perdana Menteri. Sudah tentu bahawa selagi peruntukan yang sepertimana yang terkandung ini dia tidak akan menghakis persepsi ini yang selama ini bahawa BPR - Badan Pencegah Rasuah yang akan dikenali sebagai SPRM ini akan dikuasai oleh eksekutif, oleh pihak Kerajaan khususnya oleh pihak Perdana Menteri. Jadi sebab itu saya mencadangkan ini supaya dipertimbangkan oleh pihak kerajaan.

Kemudiannya juga kita lihat bahawa dalam pelantikan Ketua Pesuruhjaya umpamanya, pelantikan Ketua Pesuruhjaya ialah dengan cadangan daripada nasihat Perdana Menteri kepada Yang di- Pertuan Agong. Namun, kita tidak ada satu mekanisme yang jelas bagaimana kalau Ketua Pesuruhjaya itu melakukan beberapa perkara yang boleh diambil tindakan ataupun dibuat pemecatan dan sebagainya. Jadi sebab itu bagi saya bahawa sepatutnya jawatankuasa yang saya cadangkan tadi, Jawatankuasa Parlimen itulah yang seharusnya diberikan kuasa untuk mempertimbangkan juga pelantikan Ketua Pesuruhjaya. Ini sekali gus jawatankuasa itulah juga yang boleh mempertimbangkan kalau berlaku kecacatan-kecacatan kepada Ketua Pesuruhjaya dan Lembaga Penasihat kepada suruhanjaya ini, Jawatankuasa Peringkat Parlimen inilah yang boleh mengambil tindakan, membuat penukaran ataupun pemecatan dan sebagainya.

Kemudian Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin melihat bahawa tentang bagaimana perkara yang berkaitan dengan soal - sebab saya katakan tadi bahawa Jawatankuasa Aduan tidak ada keperluan. Oleh sebab saya difahamkan bahawa pada bulan dua ini, sidang akan datang ini akan dibentangkan satu rang undang-undang yang baru untuk membentuk satu Jawatankuasa Aduan terhadap agensi-agensi kerajaan. Sepatutnya sudah cukup untuk kita memberikan kuasa kepada jawatankuasa itu tadi untuk meneliti tentang fungsi perjalanan aduan-aduan terhadap lembaga-lembaga suruhanjaya ini tanpa perlu kepada satu jawatankuasa aduan yang lain. Ini kerana akan mewujudkan banyak kerenah birokrasi yang bukannya untuk mempercepatkan ataupun mempertingkatkan usaha pencegahan rasuah. Namun, melambatkan lagi dan mewujudkan kerenah-kerenah birokrasi yang boleh menyebabkan kelambatan ataupun menggagalkan usaha-usaha untuk pencegahan rasuah.

Kemudian Tuan Yang di-Pertua, saya juga ingin menimbulkan beberapa persoalan di sini berkaitan dengan beberapa seksyen yang saya kira bahawa perlu kepada satu penjelasan yang lebih jelas kepada kami di Dewan ini. Iaitu seksyen yang berkaitan dengan 43, sebab saya cukup bimbang bila diberikan satu keluasan yang sebegitu tanpa ada check and balance yang menyebabkan bahawa orang yang hanya disyaki. Saya melihat juga dari segi bukan sekadar kita hendak mencegah rasuah hendak mengambil tindakan, tapi hak orang yang disyaki juga harus diambil kira. Itulah hak-hak mereka iaitu apabila kuasa memintas perhubungan, boleh detect telefon dan sebagainya. Bagi saya bahawa sepatutnya SPRM ini harus mengambil, mendapat order daripada mahkamah terlebih dahulu walaupun tanpa pengetahuan orang yang disyaki. Sebab mereka harus menunjukkan apa evidence yang menunjukkan kepada mahkamah bahawa mereka perlu untuk membuat pemintasan perhubungan ini. Iaitu hendak detect telefon kepada orang yang disyaki sehingga mahkamah berpuasa hati, hakim berpuas hati memang ada keperluan bahawa mahkamah boleh beri hak itu kepada pihak SRPM.

Tuan Yang di-Pertua: Dua minit lagi Yang Berhormat.

Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Ya?

Tuan Yang di-Pertua: Dua minit lagi.

Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Dua minit lagi? Kalau tidak nanti bermakna bahawa ini sudah tentu tidak begitu baik untuk seseorang kerana mereka hanya disyaki belum lagi dituduh dan belum didapati bersalah dan sebagainya. Sebab itu bagi saya bahawa kita takut nanti privasi seseorang itu akan terganggu kerana akan berlaku detect melalui pintasan telefon dan sebagainya.

Begitu juga dengan seksyen 47 berkaitan dengan soal iaitu obligasi di sisi undang-undang untuk memberikan maklumat. Saya kira bahawa ini suatu penjelasan yang harus diberikan kepada kami di sini bahawa seolah-olahnya seksyen 47 yang harus juga dibaca bersekali dengan beberapa seksyen yang lain bahawa seolah-olahnya macam orang yang disyaki itu tidak ada hak untuk mengatakan tidak boleh memberikan keterangan sedangkan dalam kes-kes jenayah yang lain pengalaman saya bahawa kita boleh mengatakan kepada pihak penyiasat bahawa saya akan menjawab di mahkamah. Akan tetapi dalam akta ini dia memberikan satu kuasa yang begitu penuh, pasti mesti berikan keterangan kepada pihak yang menyiasat. Jadi bagi saya bahawa ini hak seseorang itu mungkin boleh berlaku penyalahgunaan kuasa bagi saya dan berlaku pemaksaan ke atas mereka untuk memberikan keterangan-keterangan yang kemungkinan orang itu tidak terlibat tetapi oleh sebab ketakutan berada dalam siasatan pihak SPRM ini, kemungkinan ini akan menjebakkan orang-orang tersebut. Saya menyebut ini bahawa saya bimbang bahawa ada kemungkinan akta ini juga boleh berlaku penyalahgunaan kuasa itu sendiri. Jadi ini yang saya kira bahawa harus dilihat oleh pihak kerajaan sendiri.

Dato' Abd. Rahman Dahlan [Kota Belud]: Minta penjelasan sedikit yang pasal tadi.

Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Saya hendak habis sebab Tuan Yang di-Pertua tidak beri penambahan masa kepada saya.

Dato' Abd. Rahman Dahlan [Kota Belud]: Akta itu tidak berubah, yang disebut tadi itu.

Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Saya katakan bahawa apa salahnya kalau untuk kita ubah. Apa salahnya untuk kita ubah? Sebab itu saya katakan bahawa soalnya bukan tidak berubah ataupun tidak tetapi pentingnya kepada kita memberikan hak kepada orang yang disyaki itu sendiri supaya dia tidak terdedah kepada penyalahgunaan kuasa yang akhirnya dia memberikan keterangan yang tidak sepatutnya dia berikan keterangan kepada pihak yang menyiasat.

Saya pun hendak jaga juga Yang Berhormat tetapi Yang Berhormat yang kena bab pemilihan UMNO ini.

Kemudian beberapa klausa yang lain yang saya fikir bahawa begitu juga dengan 53(4), 53(6), 53(7) yang tidak perlu saya sebut bahawa perlu dibuat satu kajian bahawa kadang-kadang kita mengambil kuasa mahkamah, kita mengambil satu kuasa mahkamah yang sepatutnya mahkamah yang menentukan beberapa tindakan dan keputusan-keputusan tetapi undang-undang ini telah mengambil suatu bentuk kuasa mahkamah.

Akhirnya bagi saya bahawa yang berkaitan dengan soal defence statement ini, maknanya penyataan pembelaan ini. Bagi saya bahawa adalah tidak wajar untuk peringkat ini orang yang dituduh itu mengemukakan kepada pendakwa tentang apa bentuk pembelaan diri dia, tidak sepatutnya bagi saya bahawa. Sepatutnya pembelaan ini ialah pembelaan yang seharusnya berada, berlaku di hadapan hakim. Akan tetapi apabila pembelaan itu dibuat terlebih dahulu dan diberikan secara bertulis, secara dokumen kepada pihak pendakwa dan saya kira bahawa ini sesuatu yang tidak adil yang mungkin akan menyebabkan berlaku penyalahgunaan kuasa. Jadi sebab itu bagi saya bahawa perkara-perkara ini harus dilihat dan saya melihat bahawa minta penjelasan daripada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan juga Yang Berhormat Menteri ialah berapa kes aduan yang membabitkan pemilihan UMNO ini.

Sebab saya pun tidak dengar lagi siasatan itu dibuat dan apa tindakan. Di tangan saya ini ada satu kes aduan BPR berkaitan pemilihan UMNO di Wangsa Maju iaitu yang membabitkan Setiausaha kepada Menteri Pertahanan, ada aduan BPR kepada saya. Saya rasa bahawa ini baru aduan dan ada salinan wang yang dibuat satu salinan di tangan saya nombor-nombor wang yang diberikan dalam satu envelop yang bernilai RM1,000. Jadi kita hendak tahu bahawa berapa jumlah harga keseluruhannya dalam kes pemilihan ini sebab saya ada juga mendapat maklumat tentang dikatakan bahawa ada seorang daripada mereka yang terlibat dalam pemilihan ini ada kes sampai 860 aduan terhadap diri dia seorang.

Ini maklumat yang diberitahu oleh kawan-kawan daripada UMNO sendiri bukan daripada Padang Rengas. Padang Rengas dia tidak boleh bocor maklumat daripada BPR maknanya daripada UMNO. Ada di kalangan mereka yang terlibat dalam pemilihan ini, ada aduan BPR terhadap dia 860 kes aduan.

Tuan Yang di-Pertua: Gulung Yang Berhormat.

Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Jadi bagi saya bahawa takkan daripada 860 kes itu tidak boleh lepas satu kes. Sebab itu saya hendak tahu bahawa apakah bentuk siasatan yang telah pun dibuat dan apakah tindakan-tindakan yang telah dibuat? Kalau tidak nanti bahawa ini kita tidak buat bermakna bahawa SPRM yang kita bentang ini takkan pergi ke mana dan akhirnya dia hanya menjadi satu lipstik.

Dato' Abd. Rahman Dahlan [Kota Belud]: [Menyampuk]

Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Ini yang baru ini, yang baru termasuk dari Kota Belud.

Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih Yang Berhormat. Gulung Yang Berhormat.

Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Jadi sebab itu saya minta kepada pihak kerajaan bahawa harus menunjukkan komitmen, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri harus tunjukkan komitmen supaya dapat mengambil tindakan tegas terhadap kes pemilihan Agung UMNO ini. Ini sangat penting bahawa kita tidak mahu nanti seperti mana yang disebut oleh Menteri Besar Pahang, dia kata saya jijik untuk bercakap soal pemilihan UMNO, dia pun jijik. Ini ada kepada saya kenyataan. Saya pun tidak tahulah saya tidak hendak tuduhlah kawan-kawan semua.

Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih Yang Berhormat Pokok Sena.

Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Akan tetapi saya katakan bahawa ini sangatsangat penting kalau tidak nanti bahawa tidak ada tindakan yang serius terhadap ini sebab saya dikatakan bahawa kes 860 aduan terhadap seseorang itu dikatakan bahawa BPR bersedia untuk memulakan kes bertindak.

Dato' Dr. Haji Jamaludin bin Dato' Mohd. Jarjis [Rompin]: Sudah habis?

Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Akan tetapi ada orang tertentu daripada pihak kerajaan kata boleh tetapi dengan syarat ada saksi yang ketiga. Kalau ada saksi yang ketiga boleh on, boleh ambil tindakan tetapi saya tidak tahulah bahawa apakah boleh dalam kes rasuah ini wujud perlu sampai kita hendak dapat kepada saksi yang ketiga?

Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih Yang Berhormat Pokok Sena, gulung Yang Berhormat.

Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Jadi sebab itu saya minta sungguh-sungguh sebab ini isu penting Tuan Yang di-Pertua bahawa kalau tidak nanti orang akan gelak dan ketawa, SPRM ini akan menjadi bahan ketawa...

Dato' Dr. Haji Jamaludin bin Dato' Mohd. Jarjis [Rompin]: Gulunglah, gulung, gulung, gulung.

Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: ...Masyarakat antarabangsa mengatakan bahawa dalam UMNO sendiri pun tidak terlibat. Sebab itu saya pergi Padang Rengas dia tidak bertanding. Jadi bagi pun hendak, terima pun hendak.

Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih Yang Berhormat.

Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Dia tidak bertanding itu saya pujilah dia tetapi saya tidak tahulah kot dia jadi broker siapa-siapa Wallahualamlah. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

0 comments

Post a Comment

ImageChef Custom Images

Parlimen

Photobucket

Participating for Allah s.w.t.
Untuk pembinaan, ubah suai rumah dan lain-lain kerja untuk memulih atau menaik taraf rumah anda termasuk kerja-kerja plumbing dan pendawaian elektrik, sila hubungi Abang Omar 019-3344500

Medic & Beauty Spa

Untuk bekalan santan dan buah-buahan sekitar Kuala Lumpur dengan harga wajar, sila hubungi Abang Zali 019-2314248 (Pasar Chow Kit)

Klik gambar di atas. Sedap, bib!! Memang sedap sungguh!! Dan, boleh buat duit sakan!

Dapatkan segera!!! Maklumat lanjut di sini!

Cantik? Klik di sini

Sila klik imej di atas

Islam

Blog utama

Arkib