Pas anggap pelawaan jerat politik
Berita Harian (30/7/08): Pas menyifatkan pelawaan Umno untuk bergabung menjadi sebuah parti Melayu sebagai jerat politik kerana Umno tiada keikhlasan untuk menyatukan orang Melayu.Pas kekal dalam Pakatan Rakyat: Mat Sabu
Sehubungan itu, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, tetap dengan pendirian asalnya tidak akan menerima pelawaan itu kecuali Umno memenuhi janjinya kepada Pas sebelum ini.
"Kita sudah serik pakat (berpakat) dengan Umno kerana dia (Umno) banyak tipu kita (Pas), tetapi kali ini kita lebih berhati-hati dan tidak mudah menerima pelawaan mereka.
"Setakat berunding dan bermuzakarah dengan Umno boleh, tetapi untuk bersatu tidak setuju kerana takut diperangkap politik kali kedua.
"Kecuali mereka (Umno) tunjuk keikhlasan mansuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan dan meluluskan semula peruntukan RM8 juta bagi pembinaan pasar di Pasir Mas," katanya ketika berucap pada majlis makan malam bersama pegawai kerajaan dan masyarakat Gua Musang, di sini, malam kelmarin.
Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan mempertikaikan kewujudan JPP itu kerana negeri lain di bawah pemerintahan Kerajaan Pusat tidak ada jabatan berkenaan.
Malah katanya, ketika Kelantan di bawah Bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamad Yaacob jabatan itu tidak diwujudkan di negeri ini.
Berita Harian (30/7/08): Pas menegaskan parti itu terus kekal dalam perjuangan Pakatan Rakyat bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, sekali gus tidak berminat menjalin kerjasama dengan Umno Perak untuk membentuk kerajaan negeri.
Naib Presidennya, Mohamad Sabu, berkata setakat ini pihaknya belum menerima tawaran rasmi daripada Umno Perak berhubung rancangan pembentukan kerajaan negeri Umno-Pas di negeri itu, tetapi jika tawaran itu dikemukakan Pas akan menolaknya.
Setakat ini, katanya segala kegiatan untuk kepentingan bersama termasuk ceramah umpamanya masih dijalankan secara kerjasama dengan PKR dan DAP.
“Tidak perlu timbul isu kami (Pas) hendak termakan dengan tawaran itu kerana kami masih kekal dengan Pakatan Rakyat,” katanya.
Ketua Dewan Pemuda Pas, Salahuddin Ayub, berkata Pas akan terus konsisten dengan Pakatan Rakyat dan tidak akan keluar daripada perjuangannya.
Beliau turut menyelar Tajol Rosli kerana menyifatkan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak itu tidak menggunakan kebijaksanaan dalam membuat tawaran itu.
0 comments
Post a Comment